April 26, 2011

Cerpen: Kisah kasih di Madinah.



Kisah kasih di Madinah.
“Abang, kita nak pergi haram sekarang ke?” tanya isteriku dengan nada manja. Dari suaranya sahaja dapat, membuatkanku berasa bangga dapat mempunyai isteri sepertinya, bukan hanya solehah namun juga kelembutannya membuatkanku seakan terasa sebagai suami paling beruntung sedunia ini. Haram yang dimaksudkan adalah Masjid Nabawi di kota Rasulullah. Maklumlah, sebagai pasangan yang baru sahaja mendirikan rumah tangga sisi romantik antara kami masih nampak jelas, dan alhamdulillah berkat bantuan Allah, aku dapat membawanya untuk berada di sisiku yang sedang belajar di Universiti Islam Madinah.
“Awak dah siap ke sayang?” balasku lembut juga menggunakan bahasa panggilan mesraku  kepadanya.
“Dah, itu baju abang saya gantung dekat almari, saya dah cuci dan dah gosok tadi tengah hari. Abang nak makan dulu? Kalau nak saya panaskan dulu lauknya”
Bahagianya aku, ada orang cucikan pakaian aku, siap gosok lagi. Sekarang dia nak siapkan makan lagi. Ya Allah, memang betullah orang cakap kalau orang tak kawin tu memang miskin sangat. Kesian!!
“Tak payah sayang, kita terus pergi haram je, setengah jam lagi dah nak masuk waktu azan maghrib.”
Bersama-sama dengan menaiki kereta yang baru sahaja aku beli dari kawanku beberapa hari sejak aku menikah kami menuju ke Masjid Nabawi, boleh dikatakan kereta ini dah berapa tangan yang pakai, tapi aku masih bersyukur sejak saat pertama aku datang ke sini sehingga sekarang tak pernah kereta aku sampai mati di tengah jalan. Orang cakap ini adalah ‘barakah’ daripada menikah. Aku semakin yakin dengan sabda Nabi bagi orang yang ingin menikah: “Sekiranya kalian miskin maka Allah akan memberikan kekayaan kepada kalian!”
Kerana waktu yang sudah mendekati azan, jalan-jalan menuju ke Masjid Nabawi sudah mula penuh dengan pelbagai macam kenderaan. Seperti biasa, cara bawa kereta orang Saudi dapat dikatakan sangat berbahaya sekali, jika tidak biasa silap-silap boleh kemalangan. Namun, dengan kemahiranku membawa kereta, aku dapat menyelit secepat mungkin dan sampai pada Masjid Nabawi tepat pada waktunya.
Setelah memarkirkan kereta kami menuju ke arah Masjid, di sana kami terpaksa berpisah kerana tempat laki-laki berada di depan sedangkan perempuan di belakang.
Isteriku mengambil tanganku dan menciumnya seraya berkata: “Abang, Anna izin dulu ye, nanti habis isya’ kita jumpa di sini!”
Terasa sejuk hatiku, betapa indahnya romantika dua pasangan ini, di satu sisi aku berasa sedih, meskipun hanya dari Magrib ke Ashar aku akan berpisahnya dengannya, tapi di sisi yang lain aku rasa gembira kerana akan menghadap kepada Penciptaku, Allah yang Esa.
“Ya sayang, nanti kita jumpa di sini.” Aku menuju ke dalam masjid bahagian laki-laki dan mengambil Al-Qur’an untuk mengulang hafalanku setelah sebelumnya sempat melaksanakan sholat dua rakaat Tahiyyatul-Masjid.
Setelah Maghrib pula aku sempat mengikuti kelas masyayikh di Masjid. Aku tahu saat ini isteriku pasti sedang menghafal Al-Qur’an pula di dalam masjid juga bahagian wanita.
Selepas isya’ kami berjumpa lagi di tempat yang kami janjikan, walaupun hanya sebentar berpisah namun hati ini terasa seperti tersiat-siatkan oleh pisau kerinduan ku padanya.
Ia menyambutku dengan secawan senyuman indahnya, ya senyuman untukku. Bukan untuk laki-laki lain di dunia ini. Alangkah indahnya berkasih-kasihan dengan cara ini, dengan cara halal dan tentunya diredhai oleh Allah.
Balik dari masjid, aku ingin memberikan isteriku kejutan, aku ingin membawanya ke sebuah restoran yang agak mahal, Swiss house. Restoran tersebut terletak berdekatan dengan masjid Qiblatain. Harganya memang relatif mahal, tapi untuk isteri jangankan untuk makan, jiwa-ragaku sekalipun akan ku berikan jika ia inginkan. Lagipun bukanlah selalu, hanya ingin mencari suasana baru sahaja antara kami.
Perjalanan pulang dari masjid juga sama seperti sebelumnya, kesesakan lalu-lintas yang teruk berlaku, ini kerana jalan-jalan di sekitar Masjid Nabawi masih diperbaiki, katanya ingin membuat jalan baru, tapi sejak aku berada di sini dari tiga tahun yang lalu tak pernah pun siap.
Rata-rata penduduk di sini membawa kereta mereka secara tidak beraturan, yang kiri mahu ke kanan, yang kanan mahu ke kiri. Maka dari itu kesesakan berlaku di mana-mana di sekitar Madinah. Kemalangan pula tak sedikit yang berlaku, semuanya hanya memikirkan diri mereka masing-masing. Kata kawan-kawanku cara mereka mengendarai kereta seperti mana mereka mengendarai unta.
Pernah aku ceritakan kepada isteriku ketika sebelum menikah dengannya, aku dan kawan-kawanku menaiki taksi dari Masjid Nabawi ke kampus.
Orang Saudi yang membawa teksi itu adalah orang badui, orang kampung yang tinggal di padang pasir. Tiba-tiba dia bertanya:
“Kamu asal daripada mana?” tanyanya.
“Saya dari Singapura.” Jawapku ramah.
“Oh, Singapura…. Singapura tak ada apa-apa dekat sana, semua orang naik keldai!” katanya sombong.
Sempat marah, namun kemudian berhenti sekejap untuk berfikir bagaimana membalasnya.
“Tak apa, kami semua di Singapura memang naik keldai. Tapi di Saudi semua keldai naik kereta.” Sambungku diiringi oleh tawa kawan-kawanku.
Dia marah besar, akibatnya aku dan kawan-kawanku diturunkan di tepi jalan. Dah nasib. Walaupun begitu, kawan-kawanku tidak marah denganku, mereka bahkan mengatakan jawapanku tersebut sangat tepat untuknya.
Isteriku hanya tertawa sahaja ketika aku menceritakan kisah tersebut.
Kembali kepada jalan yang kami lalui, kesesakan luar-biasa kami hadapi, semuanya sedang dalam perjalanan untuk keluar dari Masjid Nabawi. Untuk menghilangkan kebosanan aku menghidupkan radio iza’atul-quran al-karim, sebuah radio kerajaan Saudi yang hanya memutarkan Al-Qur’an dan ceramah masyayikh. Dalam asyik suasana itu, tiba-tiba ada sebuah kereta menyelit dan berhenti di depan kami. Setelah aku perhatikan lagi rupanya remaja Saudi yang ingin mempermainkan ku, dia tersengih bersama kawan di sebelahnya sambil melihat ke arahku.
Kadang-kadang remaja-remaja di sini menjengkelkan, mungkin maksudnya ingin bergurau atau berkelakar, tapi kita sebagai orang Asia biasanya tak dapat menerima perbuatan tersebut. Cuba terlanggar tadi, bukan hanya aku isteriku juga akan menerima akibat buruk gurauan tidak bertempat tersebut.
“Kurang ajar!” ucapku kesal.
Segera aku memijak pedal keretaku sekuat mungkin untuk mengejar kereta tadi, di antara kesesakan tersebut aku menyelit, bukan sombong tapi tiga tahun pengalamanku membawa kereta di sini sudah cukup untuk menunjukkan keupayaanku.
“Abang, pelan lah sikit. Dah tak payah layan orang macam tu” nasihat isteriku, dia sebenarnya sudah agak takut.
“Tak, abang kena bagi dia pelajaran!” Aku tidak dapat mengawal emosiku.
Terjadi kejar-mengejar antara kami, aku berada tepat di belakangnya, ketika kami sudah keluar dari kesesakan dan menuju ke jalan besar kecepatan keretaku sudah lebih dari 140KM/ Jam. Aku sudah tidak terfikirkan saman dari polis trafik atau sesiapapun. Yang penting bagaimana caranya aku ingin mengajar remaja-remaja di depanku agar berlaku sopan terhadap orang asing seperti kami.
Isteriku sempat beberapa kali menenjerit ketakutan dan merayuku untuk berhenti mengejar orang tersebut. Namun kemarahanku sudah memuncak. Aku dah tak mendengar lagi tangisan rayuan isteriku. Yang aku inginkan hanya satu, melepaskan kemarahanku kepada remaja yang mempermainkan kami tadi.
Dengan tangkas aku memotong beberapa kereta di depanku, tanpa ku sedari tiba-tiba aku melihat sebuah lori besar sudah berada di depanku, aku tidak dapat mengawal keretaku sehingga aku melanggar lori tersebut, kereta kami terbalik, aku sudah tidak ingat lagi apa yang berlaku selepas itu.
Aku melihat darah ada di mana-mana? Isteriku.... isteriku terperosok di bawah kereta di depanku, dengan suara yang sangat lemah ku memanggil-manggil namanya, namun tiada balasan yang ku terima, sekejap sahaja, setelah itu semuanya menjadi gelap..
-
-
-
-
-
-
Ihsan... Ihsan... sayup-sayup aku mendengar suara orang memanggil namaku, aku mencuba membuka mataku, namun terlalu berat, badanku terasa lemah sekali. Di manakah aku? Aku lupa dengan apa yang telah berlaku. Aku mencuba mengingat-ingat lagi. Di mana isteriku?
Aku memaksakan diri untuk membuka mataku dengan susah-payah, samar-samar aku melihat kawan sebilikku dulu, Fajar.
“Mana isteri aku?” tanyaku dengan suara yang lemah.
Dia memintaku untuk mengulang lagi pertanyaan tersebut, kerana suaraku terlalu kecil untuk didengarnya.
“Mana isteri aku Fajar? Apa yang terjadi?”
Dia hanya terdiam membisu, dari wajahnya nampak dia menyembunyikan sesuatu. Jelas sekali kesedihan terpancar di wajahnya, namun ia tidak ingin memberitahuku.
“Mana isteri aku?” kali ini  aku mencengkeram tangannya menagih jawapan. Saat ini aku tidak dapat menahan air mataku untuk tidak jatuh. Aku menangis, fikiranku berserabut, andaikan aku bersabar! Andaikan aku mendengarkan rayuan isteriku! Pasti semuanya tidak akan terjadi. Nasi sudah menjadi bubur, namun aku tidak dapat menerima takdir ini, isteriku sudah meninggalkan diriku selamanya.
Terasa dunia ini menghempap diriku. "Ya Allah, kenapa Engkau mengambilnya lebih dulu dari diriku? Aku yang bersalah ya Allah!" hati ini meraung, aku sudah tidak dapat berfikir waras lagi, segalanya telah hilang, cintaku sudah hilang. Aku merasa tidak ingin hidup lagi.
Tanpa kusedari tiba-tiba Fajar memukul kepalaku sekuat-kuatnya. PANG!!
Aku terkejut dan marah. Kenapa dia begitu kejam denganku, bukankah saat ini seharusnya dia menenangkan hatiku. Aku ingin membalasnya, namun badanku masih terlalu lemah kerana kemalangan tersebut. Aku hanya mampu menangis sahaja, tak kusangka kawanku akan memukulku di saat aku kehilangan orang yang paling aku cintai.
Melihatku hanya menangis sendiri, sekali lagi Fajar memukulku. Mungkin ia ingin memberiku pelajaran atas kesalahanku ini.
“Fajar, aku tahu aku salah! Aku lah yang menyebabkan kemalangan tu, tapi kau tak patut pukul aku!” aku menjerit ke arahnya sekuat mungkin. Kesabaranku sudah hilang. Disamping masih sedih akan peristiwa kemalangan tersebut dia tidak seharusnya melakukan perbuatan itu padaku.
Sekali lagi Fajar memukulku, kali ini lebih kuat lagi.
"Banyak laa kau punya isteri!! Aku bangunkan ni sebab nak suruh kau solat Maghrib, kejap lagi dah nak Isya’ tu! Yang kau pulak tiba-tiba menangis pastu tanya isteri apahal? Belajar pun malas, duit masih minta dengan mak bapak ada hati nak kawin? Tu laa, tidur lagi senja-senja macam ni! Dah bangun pergi solat sana, karang terlambat pulak!"
..... Aku termenung sendirian, "Betul ke aku belum kawin?" Aku melihat sekitar bilik aku! Ada almariku, ada meja belajar dan ada rak buku. Ya Allah, mimpi rupanya. Malunya, rasa macam nak sembunyi dalam peti sejuk je! Mana aku nak letak muka aku ni? Sambil melihat Fajar yang mentertawakan aku yang sedang keliru, aku pergi ke bilik air untuk mengambil wudu’. Saat ini, aku memasang azam untuk tidak meninggalkan solat jama’ah di masjid selepas ini.
Tapi betul ku aku belum kawin? Kenapa macam betul je ek?

Moral cerita ini:
  1. Sholatlah jama’ah di masjid
  2. Jangan bawa kereta laju-laju
  3. Berusahalah untuk mengawal emosi
  4. Bagi remaja cepat-cepatlah pacaran secara syar’i (nikah)
  5. Dan paling penting, jangan banyak MENGKHAYAL.

Madinah, 25/04/2011
Pukul 11.33 PM


0 comments:

الوقت كالسيف إن لم تقطعه قطعك