May 10, 2011

Budaya berkapel

Semenjak-duamenjak ni selalu saja terbaca dari facebook, berita, ataupun terdengar dari kawan-kawan tentang budaya berkapel, sengaja aku tulis ‘berkapel’ supaya nampak lebih friendly untuk kawan-kawan yang nak baca tulisan aku ni. Sebenarnya maksud berkapel adalah diambil dari bahasa inggeris, ber-couple atau lebih tepatnya berpasangan.



Berpasangan? Mesti semua dah terdetik dalam hati dia apa yang aku maksudkan. Berpasangan yang aku maksudkan adalah berkasih-kasihan, bercinta antara satu sama lain, ataupun dalam Bahasa Indonesia diorang suka sebut pacaran ataupun jadian.



Dulu aku hanya setakat mendengar meskipun tak pernah mengalami kerana mula sekolah menengah aku dah disekolahkan di Gontor yang mana di sana hanya ada laki-laki (sekali lagi laki-laki) kecuali isteri-isteri ustaz senior dan makcik kantin yang kitaorang selalu panggil ‘embok dapur’ (itupun rata-rata dah berumur, dalam 50-60 tahun macam tu takkanlah nak tackle kan? He he he)


 

Sampailah ketika aku berada di Mesir, waktu tulah aku baru kenal yang namanya dunia!! (hehe cakap macam real je?) kat sana pelajar laki-laki dan perempuan campur, maksud aku campur rata-rata diorang duduk tempat tinggal yang berdekatan. Pelajar Singapura rata-rata kat Rab’ah, Hayyu sabi’, pelajar Malaysia dan Indonesia pula rata-rata duduk dekat Hayyus sabi’ dan hayyu ‘asyir.



Sebenarnya bukan diorang duduk kat mana yang aku nak cerita, tapi kalau nama laki-laki dah duduk dekat dengan tempat perempuan, faham-faham je lah! Takkanlah tak ada cerita kot! Dari sana aku mula tahu maksud berkapel sikit demi sedikit. Walaupun sebenarnya tak adalah separah macam berkapel kat negara kita.



Walaupun macam tu, apa yang aku dengar dan baca dari berita, berkapel ini dah seakan-akan menjadi sebagai sebuah budaya, orang kalau tak ada kekasih seakan-akan tak laku dan ketinggalan zaman, bahkan ramai dari mereka yang berkapel sehingga kuliah terbengkalai, akhirnya drop-out! Berhenti kuliah. Hmm… aku tak adalah kisah sangat, tapi dengar dari cerita kawan-kawan kat Malaysia dan Indonesia pun dah teruk sangat dah, Singapura jangan cakaplah.



Apalagi sekarang dengan macam-macam media yang ada, handset, Blackberry messengger, YM, MSN, Facebook, dan lain-lain. Si laki-laki mula lah memainkan kata-kata muslihatnya, merangkai pelbagai macam puisi, syair, kata-kata indah untuk menarik si wanita. Ironik memang, tapi hakikatnya tanpa sedar si wanita pula termakan bujuk rayu laki-laki tersebut.



Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

“Sesungguhnya Allah telah menetapkan bagi anak Adam bahagiannya dari zina, pasti akan menjumpainya. Maka zinanya mata adalah dengan melihat (yang bukan mahramnya), zinanya lisan adalah bicaranya, dan zinanya jiwa adalah angan-angan dan berkeinginannya, sedangkan farji membenarkan atau mendustakannya.” (HR. Bukhari: 20/283))



Sedih ketika membaca posting kawan aku Abdul ……… (tak disebutkan) di facebook-nya menceritakan tentang seorang pelajar Universiti …….. (tak disebutkan) macam mana dia menggoda ramai wanita yang bertudung lalu, mula-mula ajak makan, lepas tu tengok wayang, lepas tu… lepas tu… (lebih baik tak payah teruskan, rasa semua dah faham kot). Itu wanita yang bertudung, macam mana dengan yang tidak bertudung?



Fokus utama yang ingin aku sampaikan di sini kenapa dalam fikiran kita boleh ada seakan-akan sebuah bisikan “kalau tak berkapel tu kuno!! Ketinggalan zaman!! Dan yang sewaktu dengannya! (macam azan pula he he)”



Antara faktor yang aku lihat mekarnya budaya berpasang-pasangan ini adalah kerana pengaruh kawan-kawan dan lingkungan sekitar dan pengaruh cerita TV, drama filem dan sebagainya yang tentunya berasal dari budaya barat yang tidak baik. Bagi mereka, selepas berkapel satu sama lain, hujung-hujungnya putus lepas tu cari lagi sampai mereka berkahwin pun kadang-kadang masih ada selingkuhan lagi.



Yang aku lebih tak suka lagi, ramai dari laki-laki yang mengambil kesempatan ini untuk mempermainkan wanita. Sebenarnya si perempuan tu nak je serius, tapi si laki-laki just nak having fun, berkapel, putus, cari lain lagi, berkapel, putus, cari lain lagi sampai dia dapat yang diorang rasa diorang suka baru diorang nak serius kawan. Jadi dalam budaya berkapel ni secara tak langsung perempuan lebih banyak dirugikan, seakan-akan wanita ni macam barang yang boleh dicuba-cuba.



Pada aku wanita adalah makhluk terhormat dan mulia dalam Islam, yang sepatutnya dihormati dan dimuliakan oleh para laki-laki, yang sangat mahal harganya tidak dapat dibeli oleh apa-apapun melainkan dengan cara yang halal, iaitu menikah. Tapi hakikatnya sekali lagi, si perempuan tak sedar, pakai tudung pun macam nak tak nak. Begitu mudah tergoda oleh rayuan laki-laki yang bertopengkan ‘syaitan’.



Sedarlah wahai wanita muslimah! Sedarlah bahawa engkau terlalu berharga! Engkaulah yang akan melahirkan zuriat-zuriat para pejuang Islam, penerus para ulama’, mujahid demi menegakkan Islam. Tapi, kehormatan dan kemuliaan itu sanggup engkau korbankan untuk ‘cinta monyet’ yang mana dalam hal ini keuntungan lebih banyak pada laki-laki sedangkan kerugian lebih kepada dirimu.



Betapa kehormatan itu engkau korbankan untuk sesuatu yang terlalu rendah, cinta yang hanya berhujung kepada kesengsaraan



Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman,

“Dan janganlah kamu mendekati zina. Sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.” (QS. Al-Isra`: 32)



Bagi laki-laki pula, sedarlah bahawa dengan anda melakukan itu, secara tidak langsung anda telah menghancurkan masa depan orang lain, dan bahkan masa depan keturunannya. Mungkin maksud anda ingin bermain-main ataupun mencuba-cuba, tapi ingatlah! Dengan perbuatan anda tersebut berapa ramai wanita yang akan anda kecewakan. Macam mana jika suatu hari nanti ada laki-laki yang memperlakukan hal yang sama terhadap adik-adik perempuan anda, ataupun terhadap anak-anak perempuan anda? Tidakkah sakit hati anda? Orang cakap kalau tak nak orang buat kat kita, kita jangan buat kat orang lain.



Daripada berkapel, cari-cari perempuan dekat facebook, YM dan sebagainya ada sebaiknya terus sahaja menikah. Mungkin ramai yang akan berfikir dua-tiga kali, takut habis duit lah, fikirkan anaklah, tak dapat belajarlah dan macam-macam perasaan negatif yang lain.



Allah Subhanahu Wata’ala berfirman:

“Dan kawinkanlah orang-orang yang sendirian di antara kamu, dan orang-orang yang patut (kawin) dari hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memampukan mereka dengan karunia-Nya. Dan Allah Mahaluas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui.” (Qs. an-Nur: 32).



Yakinlah dengan menikah Allah akan membantu anda, kerana ia adalah suruhan Allah dan RasulNya. Dan Allah sudah menjamin untuk memberikan kelapangan rezeki bagi yang menikah di jalan yang syar’i. Jangan dah terlajak baru nak nikah, waliya’uzubillah min zaalik.



Rasulullah bersabda: “Ada tiga golongan manusia yang pasti ditolong oleh Allah: orang yang berjihad di jalan Allah, budak yang ingin menebus dirinya (dengan membayar uang kepada majikannya) dan orang yang menikah kerana ingin menjaga kesucian dirinya.” (HR.at-Tirmidzi, no. 1655 dan an-Nasa-I, no. 3120)



Sekurang-kurangnya, kalau dah menikah tu tak adalah takut-takut nak buat maksiat dengan pasangannya, sebab dia bukan buat maksiat tapi buat pahala. Nak keluar jalan sama-sama ke? Nak sms ke, facebook ke, Blackberry ke, Yahoo ke, suka hati koranglah! Tak ada siapa pun yang nak larang! Bahkan jika mereka berpisah jauh, setiap kerinduan, kata-kata cinta, mesra dapat menjadi sebuah pahala bagi mereka yang bersabar.



Semoga.. Semoga kita semua dikurniakan suami yang soleh dan isteri yang solehah dan taat serta bertaqwa kepada Allah. Amin.



“Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa. ” (QS. Al Furqon: 74)



Untuk post-entry kali ini sengaja aku menggunakan bahasa yang mungkin agak ‘gaul’, sebab kadang-kadang kalau kita terlalu menggunakan bahasa formal nampak agak membosankan bagi para remaja.



Tulisan ini juga lahir atas rasa kekesalan aku mendengar hakikat dekat negara aku para remaja yang menjadikan berpasang-pasangan ini sebagai sebuah budaya. Aku sama sekali tak iri dan tak pernah terdetik pun untuk melakukannya (dan semoga kami tetap dijauhkan dari perbuatan tersebut). Cuma aku khawatir di suatu saat nanti ada yang mencuba melakukan perbuatan tersebut kepada ahli keluargaku, waliyaudzubillah. Apa-apapun aku hanya menitipkan mereka kepada Allah Subhanahu wa ta’ala. Astaudi’uhunnaallahillazi la yanam walayashu. Bismillahi tawakkaltu ‘alallahi wala haula walaa quwwata illa billahi-l ‘aliyyil azhim.



Semoga tulisan ini, sedikit-sebanyak memberikan kepada kita keinsafan untuk tidak terpengaruh oleh perbuatan-perbuatan tersebut. Amin.



Wallahu’alam bishowab.


By: Insaf Azhary

Madinah, 9/5/2011

05:36 PM

0 comments:

الوقت كالسيف إن لم تقطعه قطعك