October 12, 2011

Sedarkah kita akan nikmat ini?




Malam ini aku balik dari Masjid Nabawi agak terlambat dari biasanya kerana mengerjakan Bahs Ilmy tugasan dari syekh pelajaran Siyasah Syari’yyah yang sudah ditugaskan kepada kami dari minggu lepas dan harus dikumpulkan esok pagi.

Sampai sahaja di jami’ah sebelum balik ke bilik untuk meneruskan pekerjaanku lagi aku mengambil kesempatan untuk berziarah ke bilik kawanku di asrama unit 8. Kebetulan di bilik kawanku dia dan kawan-kawan lain sedang makan, lalu mereka menjemputku juga untuk makan malam, selepas makan aku mengambil inisiatif untuk membasuh dulang yang digunakan, dalam perjalanan ke bilik air aku melihat salah satu dari pekerja dari Bangladesh yang membersihkan asrama pelajar-pelajar di Universiti Islam Madinah, aku melihatnya hanya berdiri termenung, kadang-kadang duduk ketika ia sudah penat, mahu berkerja asrama sudah bersih, mahu balik tidak diperbolehkan sehingga pukul 11.00 PM. Apa yang mereka perlu lakukan? Mereka kadang-kadang duduk di tangga, kalau sudah penat pindah tempat pula dekat tempat bilik air, hanya bersandarkan tempat duduk dari semen, tidak ada tempat duduk dari kerusi apatah lagi tilam dan bantal, kalau musim panas mereka kepanasan, kalau musim sejuk pula mereka kedinginan.  Mereka terikat dengan kontrak kerja selama bertahun-tahun hanya demi sesuap nasi, selebihnya dikirimkan ke keluarganya di negaranya. Mereka terpisah beribu-ribu kilometer namun tidak dapat pulang hingga waktunya. Tidak ada cuti musim panas bagi mereka. Gaji mereka terlalu sedikit sekali dibandingkan biasiswaku. Mereka kadang-kadang kala selalu dimarahi, direndahkan martabatnya. Di manakah letak harga diri mereka? Mereka menyimpannya demi keluarganya di tanah-air.

Seketika aku berfikir, alangkah banyaknya nikmat yang telah ku rasakan di depan mata, namun tak pernah ku mensyukurinya? Sama sepertinya, aku juga berpisah dengan keluargaku beribu-ribu kilometer jauhnya, namun aku masih mempunyai kesempatan untuk balik ketika cuti musim panas, harga diriku tidak pernah direndahkan dan dilecehkah, sedangkan biasiswaku melebihi dari secukupnya, dan yang paling membezakanku aku dimuliakan di negara ini kerana aku adalah PELAJAR dan mereka adalah PEKERJA. Sebegitu jauhkah perbezaan itu? Ya, terlalu jauh perbezaannya, di sini pelajar di jalan Allah dimuliakan, namun pekerja sebaliknya.

Ketika aku berfikir lagi, sudahkah aku mensyukuri segala nikmat yang Allah berikan ini?
Sudahkah aku melaksanakan amanah aku sebagai pelajar di jalan Allah ini?
Ke manakah duit-duit yang diberikan oleh kerajaan Saudi Arabia kepadaku?

Hatiku tiba-tiba menangis memberontak.. tidak ada satu jawapan pun yang dapat aku jawap dengan benar. Pada hakikatnya, bagiku yang selalu bermain dan menghamburkan duit biasiswaku, tidak ada kata lain bagiku melainkan ia adalah bagaikan sebuah tamparan yang keras di wajahku.

Kadang-kadang aku berfikir, para pekerja dari Bangladesh itu mungkin lebih mulia dariku, mereka datang ke sini demi menghidupi dan memberi nafkah keluarga mereka di tanah air, mereka menjalankan amanah yang telah diberikan kepada mereka meskipun dengan gaji yang sangat kecil dan sering dimarahi. Sedangkan aku? Sedangkan aku tidak pernah menjalankan amanah sebagai pelajar di jalan Allah.

Bagaimana jika aku yang terlahir di Bangladesh, dan mereka pula lahir di tempatku? Mereka menjadi pelajar dan aku sebagai pekerja? Aku hanyalah sebenarnya ditakdirkan sedikit lebih beruntung dari mereka, namun hasilnya saat ini adalah sebuah perbezaan yang sangat jauh antara aku dan mereka.

Ini hanyalah sebuah renungan yang aku rasakan hari ini, semoga ia menjadi sebuah motivasi bagiku dan kawan-kawanku untuk terus bersyukur dengan segala nikmat yang dilimpahkan Allah kepada kita, bersyukur bukan hanya dengan kata-kata, namun ia juga perlu dipraktikkan ke dalam perbuatan kita sehari-hari.

Semoga Allah membalas segala jasa mereka para pekerja itu, dan memberkahi harta yang mereka dapatkan dan memberi hidayah bagi kita semua insyaallah.

Kata pepatah Arab:
Jika engkau dalam kenikmatan jagalah ia,
Sesungguhnya maksiat itu menghilangkan segala kenikmatan.

Universiti Islam Madinah,
Wihdah 6, tingkat 2, bilik no. 14,
9/10/2011, 1:32 AM

0 comments:

الوقت كالسيف إن لم تقطعه قطعك