November 14, 2011

Catatan haji 2011 M/ 1432 H (Bergambar)


Catatan haji 2011 M/ 1432 H

Alhamdulillah tahun ini, aku diberikan kesempatan sekali lagi untuk melaksanakan haji. Seperti tahun-tahun sebelumnya aku bertugas menjadi penterjemah untuk Syekh dari Bahasa Arab ke Bahasa Indonesia/ Melayu di sekitar Mekah di bawah naungan Kementerian Penerangan Islam Arab Saudi, yang istimewanya kali ini, adik aku juga diberikan kesempatan yang sama untuk melaksanakan haji bersamaku.

Pada 25 Dzulqa’dah yang lalu kami bertolak dari Madinah, aku, adik aku Musthafa Mu’adz, Haidir dan Ghusnu kawan-kawan dari Indonesia. Aku dan adik aku ‘nekat’ untuk memakai ihram, sedangkan Haidir dan ghusnu memilih untuk memakai baju biasa, ini kerana Tasrih Haji (seperti pass visa untuk melepasi checkpoint dari Madinah ke Mekah) belum keluar. Sedangkan aku dan adik aku hanya dapat bertawakkal kepada Allah. Meskipun belum keluar Tasrih Haji, tapi kami sudah mendapatkan Ifadah (yang menyatakan bahawa kami bertugas di bawah kementerian penerangan Islam) sudah keluar.

Di dalam perjalanan dengan Bas Saptco dari Madinah ke Mekah nak dikira ada 7 kali checkpoint di tengah jalan. Bas kami tidak dihentikan kerana resmi dari pemerintah Saudi melainkan di Jumum, perbatasan Mekah, di sana kami diperiksa, mungkin kerana melihat dua kawanku tidak memakai ihram sedangkan kami memakai baju ihram, petugas jawazat (imigresen) menanyakan di mana tasrih kami, ketika itu aku hanya mampu beristighfar dan bertawakkal kepada Allah, jika takdir sudah ditentukan, dan kami disuruh turun dan menukar baju, kami hanya mampu pasrah sahaja. Selepas 10 minit memeriksa, Alhamdulillah kami tidak disuruh turun, hanya ditanyakan sahaja, dan petugas jawazat melepaskan kami. Lau laa fadlun minallah lil fataa, faawwalu ma yajni ‘alaihi ijtihaduju.

Sebaik sahaja sampai ke Mekah, saat itu sudah malam dalam pukul 10 atau 11, aku dan teman-teman langsung mengambil taksi ke Aziziyyah, Markas Pusat Tauiyah. Di sana kami diberikan bilik sementara bersama para pendakwah masyayikh dan penterjemah yang lain untuk berehat sementara menunggu pagi dan dibukanya adminitrasi urusan tauiyah.
Aku dan kawan-kawan terus tidur, aku memasang jam 2.30 pagi untuk melaksanakan umrah tawaf Qudum di Masjidil Haram.
Dalam pukul 3.00 pagi seperti yang dirancang aku melaksanakan umrah bersama adikku. Paginya kami sempat mengambil solat subuh di haram. Selepas itu kami langsung balik ke markas tauiyah dan tidur sehingga waktu sarapan pagi.
Selepas sarapan pagi, kami membuat urusan di adminitrasi, pada mulanya aku dan adikku meminta untuk ditempatkan di Markas 10, kawasan Syi’ib Amir, kerana di sana terdapat sebahagian jema’ah dari Malaysia dan Thailand. Tapi setiausaha di adminitrasi berkeras untuk meletakkan kami di markas 5 di Tan’im (masjid ‘aisyah) yang mana boleh dikatakan lebih ramai jema’ah dari Indonesia. Tapi, kerana niat kami adalah untuk berdakwah, dan seorang da’I harus siap ditempatkan di mana-mana sahaja, maka kami terima sahaja, meskipun pada mulanya sangat berat.

Pekerjaan di tan’im boleh dikatakan ringan-ringan berat, ringan jika mahu disyukuri, berat kerana kebanyakan perkejaan bukanlah menterjemah, tetapi lebih banyak di kabin. Namun aku menasihati adik aku, kita harus memanfaatkan kesempatan ini banyak mendengar pertanyaan-pertanyaan orang dari seluruh dunia dan banyak bertanya dengan syekh di kabin agar waktu yang berlalu tidak sia-sia.

Hari demi hari berlalu, baru beberapa hari aku sudah terlalu merindukan Madinah, aku merindukan Masjid Nabawi, rindu kampus ku, rindu bilik ku, rindu kawan-kawan ku, tetapi itulah resiko berdakwah, harus selalu siap untuk menahan kerinduan, dan bersabar terhadap segala ujian. Sedangkan Rasulullah shollahu ‘alaihi wasallam dan para sahabat dahulu lebih besar dugaan dan cabaran yang menimpa, apa yang aku lakukan ini tidaklah ada apa-apanya dibandingkan mereka.

Hari setiap hari berlalu dengan faedah-faedah, ilmu-ilmu dan wawasan yang kami dapatkan dari mulazamah kami bersama syekh sehingga lah pada malam 8 zulhijjah kami bertolak ke Mina lebih awal, di sana kami di tempatkan di markas 16 di sekitar moeaisim yang rata-rata di kawasan itu adalah para jema’ah haji yang datang dari Malaysia, Indonesia bahkan terdapat beberapa kemah dari Singapura.

9 haribulan Zulhijjah kami bertolak lebih awal ke Arafah, Hari Arafah atau hari yang ke-9 dalam Zulhijjah merupakan hari di mana para jemaah haji berwuquf di padang Arafah. Hari Arafah ini merupakan hari paling ramai umat manusia beriman diampunkan dosa-dosanya yang lalu dan diselamatkan dari seksa api neraka oleh Allah SWT serta diperkenankan permohonan hamba-hamba-Nya. Rasulullah SAW bersabda: Tiada suatu hari yang di dalamnya Allah menyelamatkan hamba-Nya dari neraka yang lebih ramai daripada hari Arafah, iaitu tatkala Allah mendekat dan berbangga di hadapan para malaikat-Nya seraya berfirman: Apa yang mereka inginkan?” (Riwayat muslim no: 2402)

10 haribulan Zulhijjah, kami melontar jamrah A’qabah di pagi hari, dan balik lagi ke markas mina dan segera tahliq bergantian dengan adikku, aku membawa pencukur Panasonic charger dan selepas itu mencukur licin dengan pisau cukur gillete.

Malam 11 haribulan Zulhijjah pukul 2.00 pagi untuk mengelak kesesakan kami melaksanakan tawaf ifadah dan sa’I hajj. Selepas itu para masyayikh pulang, sedangkan aku dan adik aku beri’tikaf sehingga isya’. Pada petang harinya aku mengambil kesempatan untuk menziarahi masjid amir mut’ib (tempat aku menterjemah pertama kali pada tahun 2009) dan beberapa tempat tauiyah di syii’ib amir. Malam itu juga kami melontar jamarat yang tiga (sughra, wusta dan kubra) untuk nafar awwal (11 zulhijjah). Dan terus balik ke perkemahan kami di moeasim untuk mabit di Mina.

12 Haribulan Zulhijjah, sebelum maghrib kawasan mina sudah kosong, para masyayikh juga sudah pada pulang, ini kerana mereka ingin cepat pulang, Allah Subhanahu wa ta’ala berfirman: Barangsiapa yang ingin cepat berangkat (dari Mina) sesudah dua hari, maka tiada dosa baginya. Dan barangsiapa yang ingin menangguhkan (keberangkatannya dari dua hari itu), maka tidak ada dosa pula baginya bagi orang yang bertaqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, dan ketahuilah, bahwa kamu akan dikumpulkan kepada-Nya.” (QS. Al-Baqarah: 196-203). Maka, mereka harus keluar dari Mina sebelum matahari terbenam, sekiranya mereka keluar selepas matahari terbenam, mereka wajib untuk tinggal mabit di Mina satu malam lagi dan melempar jamarat pada hari berikutnya.
Ketika itu, hanya tinggal aku dan adikku, dan 1 syekh, dan 6 orang ustaz penterjemah dari Thailand yang tinggal untuk mengambil nafar tsani. Malam itu selepas isya’ hanya dalam pukul 10 malam kami melempar jamarat untuk nafar awwal.

13 hari bulan Zulhijjah, adalah hari terakhir, selepas solat zuhur dan mendapatkan sedikit tausiyah dari syekh yang bersamakami, kami makan telor dadar masakan adik aku, kami berpisah, syekh tadi segera menuju ke jamarat, sedangkan ustaz-ustaz dari Thailand juga bertolak selepas zuhur, aku dan adikku menunggu Ashar untuk melempar jamarat pada nafar tsani. Setelah solat ashar, sambil membawa beg kami menuju ke jamarat dan melempar jamarat yang tingga seperti mana hari-hari sebelumnya dan pulang ke Mekah berjalan kaki sambil membawa beg yang berisi pakaian dan buku. Perjalanan tersebut dari kemah kami ke jamarat, dan dari jamarat ke masjidil haram ada dalam 10 KM lebih. Terasa penat sekali, dan badan kami sakit semua. Namun semua kepenatanku terubati ketika mendengar Syekh kesukaanku menjadi imam di Masjidil haram untuk solat isya’, Syekh Maher. Lantunan bacaan al-qur’an nya yang khas terasa menyegarkan lagi seluruh tubuhku.
Malam itu juga kami menuju ke tan’im, markas tauiyah ku. Dan berehat setelah berebut-rebut dengan jema’ah haji yang lain, terutamanya jema’ah yang datang dari Mesir. Sampai-sampai seorang jema’ah dari Yaman aku temui mengatakan; “Wallah, al-masriyyun musykilah”

14 Zulhijjah, kami meminta izin dan mengambil surat berhenti tugas dari pengetua markas di tan’im, dan selepas maghrib kami menuju ke aziziyyah (markas tauiyah pusat) untuk mengurus adminitrasi, di sana kami mengambil surat izin cuti kuliah selama seminggu, dan menguruskan keuangan. Alhamdulillah, meskipun tidak banyak seperti kawan-kawan yang melaksanakan travel, tapi kami bersyukur kerana dapat melaksanakan haji secara resmi dan mendapatkan ilmu yang sangat banyak dari para masyayikh dan yang pastinya kami mengharapkan keberkahan darinya. Malam itu kami tidur di markas pusat dan pukul 3.00 pagi kami melaksanakan tawaf wada’.

15 Zulhijjah, pagi juma’at pukul 9 pagi setelah berkemas kami mengambil taksi menuju ke Perhentian Bas saptco, pukul 11 tengah hari kami bertolak dari mekah, sampai ke Madinah sehingga pukul 5 sebelum maghrib. Malam itu juga kami pulang ke kampus dan berehat untuk kuliah pada esok pagi hari Sabtu (waktu pelajaran di Saudi, dari Sabtu-Rabu)

Alhamdulillah, rasa syukur ini tak pernah terhenti, kami mendapatkan pengalaman yang sangat berharga dari perjalanan haji kali ini, dan apa yang penting, haji bersama syekh benar-benar merasa tenang, tidak takut dan tidak ada syak wasangka, kami mengetahui mana yang rukun, mana yang wajib, dan mana yang sunnah. Amat disayangkan ketika melihat ramai jema’ah haji yang melakukan amalan-amalan baru yang bertentangan dengan apa yang diajarkan oleh Rasulullah, dan tak sedikit yang mengamalkan amalan-amalan berbau kesyirikan seperti bertabaruuk, meminta barakah yang mana secara tidak langsung mengurangi nilai-nilai pahala di dalam ibadah haji tersebut.

Dalam sebuah hadith Qudsi "Allah Tabaraka wa Ta’ala  berfirman: “Aku Maha tidak butuh kepada sekutu, barangsiapa beramal suatu amalan yang dia menyekutukan-Ku di dalamnya, maka Aku tinggalkan amalan itu bersama apa yang dia sekutukan”. HR. Muslim

Dalam hadith lain pula, dari Ummul Mu’minin Ummu Abdillah, A’isyah radhiallahuanha dia berkata bahwa Rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam bersabda : “Barangsiapa yang membuat-buat dalam urusan (agama) kami ini yang bukan (berasal) darinya, maka dia tertolak. (Riwayat Bukhori dan Muslim)
Dalam riwayat Muslim lainnya disebutkan: siapa yang melakukan suatu perbuatan (ibadah) yang bukan urusan (agama) kami, maka dia tertolak.

Perkara ini dilakukan selalunya tanpa disedari, para jema’ah haji terlalu bersandar terhadap fatwa-fatwa ustaz-ustaz mereka. Inilah kenapa ilmu syar’i wajib dipelajari. Bayangkan, tidak sedikit uang yang dikeluarkan oleh mereka, berpisah dengan sanak-saudara, bahkan tak jarang yang tidak balik kerana meninggal dunia, namun kerana kurangnya ilmu kerana hanya kerana terlalu menyandarkan diri terhadap ustaz-ustaz mereka tanpa memiliki rasa ingin tahu apakah dalil dari Al-quran dan hadith tentang suatu amalan yang diajarkan, maka pahala-pahala yang seharusnya banyak menjadi berkurangan.

Amat sedih lagi ketika melihat, ramai jema’ah haji yang sudah diperingatkan untuk tidak mendengarkan apa-apapun ceramah yang disampaikan oleh para syekh di Mekah nanti, tidak diperbolehkan untuk mengambil buku-buku yang dibahagikan kerana fitnah wahabi. Ini dilakukan oleh pembimbing haji mereka agar para jema’ah tidak lari meninggalkan mereka.

Sebenarnya para syekh di sini, bahkan kerajaan Saudi tak rugi apa-apapun terhadap perbuatan para jema’ah tersebut, mereka hanya ingin menyampaikan kebenaran, dan yang selalu diulang-ulang oleh mereka adalah; syarat diterimanya amalan seseorang itu ada dua: 1. Ikhlas dan yang ke 2. Mengikuti sunnah Rasulullah shollahu a’alaihi wasallam. Semua imam empat mazhab, Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafi’i dan Imam Ahmad  telah bersepakat, setiap ayat al-qur’an dan hadith yang bertentangan dengan kata-kata mereka maka perlulah dikedepankan dalil dari ayat al-Qur’an dan hadith.

Namun, ironisnya pada saat ini aku melihat sendiri bahawa ramai orang yang menamakan diri mereka sebagai ‘USTAZ’ melakukan hal yang sebaliknya. Mereka mengedepankan hawa-nafsu mereka untuk dunia yang sementara, yang menjadi mangsa adalah para jema’ah haji. Buku-buku yang bertebaran di antara para jema’ah haji juga tak sedikit yang mengandungi hal-hal yang berbau syirik dan ghuluw (berlebih-lebihan) yang tidak dilakukan oleh Rasulullah dan para sahabat. Semoga Allah mengampuni dosa-dosa kita semuanya.

Dan terakhir, yang perlu kami syukuri adalah kesempatan yang diberikan kepadaku dan adikku untuk belajar di Universiti Islam Madinah dan melaksanakan haji ini adalah sebuah kurnia dan anugerah yang tak terkata. Semoga Allah menerima amalan kami dan para jema’ah haji yang datang dari negara masing-masing.

Al Hasan Al Bashri berkata, “Balasan dari haji mabrur adalah surga. Tanda haji mabrur adalah seseorang kembali dari haji dalam keadaan zuhud dalam hal dunia dan semangat menggapai akhirat.” Beliau mengatakan pula bahwa tanda haji mabrur adalah meninggalkan kejelekan setelah haji.
Ibnu Rajab mengatakan, “Tanda diterimanya suatu amalan kebaikan adalah amalan tersebut dilanjutkan dengan kebaikan. Tanda tidak diterimanya suatu amalan adalah amalan baik malah dilanjutkan dengan maksiat.”
Akhir kata, ingin aku tutup dengan sebuah nasihat dari syekh Naif Al-‘Utaibhi ketika aku menemani beliau dalam menterjemah, beliau berkata: “Ini adalah agama kalian, maka pelajarilah ia dengan sungguh-sungguh! Sesungguhnya ia lah yang menentukan hidupmu selepas ini, perlukan kesulitan dan keteguhan dalam mempelajarinya!”
Syekh Sa’ad Al-Uzhairi yang bersamaku di markas tauiyah juga berkata: “Kalian akan bersungguh-sungguh agar anak-anak kalian mendapatkan prestasi yang baik di sekolah mereka, ataupun mendapatkan pekerjaan yang baik, namun pernahkah kalian bersungguh-sungguh untuk mengajarkan kepada mereka sholat dan puasa!”
Ketika di Mina, salah seroang syekh yang bersamaku di Markas tauiyah berkata: “Dunia ini bagaikan mimpi, bagaikan orang yang bermimpi mendapatkan apa yang diinginkannya, lalu ketika dia terbangun, dia tidak mendapatkannya pada dunia yang nyata. Begitu juga dengan kehidupan di dunia ini, sesungguhnya ia adalah tidak kekal, kerana kehidupan yang kekal adalah ketika di akhirat kelak! Jalan mana yang kita pilih, kesenangan di dunia yang sementara ataupun di akhirat yang kekal selamanya!”
Istafti qalbak! Sama-samalah kita merenungkan nasihat-nasihat ini. Kerana setelah kehidupan ini akan ada kehidupan yang abadi.

اللَّهُمَّ اجْعَلْ حَجًّا مَبْرُوْرًا وَ سَعْيًا مَشْكُوْرًا وَ ذَنْبًا مَغْفُوْرًا

ا



 Keadaan di Masjidil Haram tingkat 2 di tempat tawaf

 Kalau di tingkat 2 sesak, bagaimana pula di tingkat 1?

Ini pula di tempat Sa'i tingkat dua

 
 Kabin-kabin tauiyah tempat pertanyaan yang tersebar
sekitar Mekah.

 Masjidil Haram malam selepas Isya'

 Kesesakan orang-orang yang bertawaf
di sekitar Ka'bah

 Kemah Tauiyah di Mina

Kawasan Kemah Malaysia dan Indonesia 

Para jema'ah dari pelbagai negara 

 Pemandangan di sekitar Mina dan Jamarat malam

Nafaq (terowong) yang memudahkan 
pejalan kaki di Mina 

Mina yang sepi ditinggal para jema'ah haji
pada Nafar tsani 

 Pemandangan dari Jamarat tingkat dua

Pemandangan di sekitar mina petang 

Sebahagian jema'ah yang menuju ke jamarat 

Jamarat..

1 comments:

Anonymous said...

well done partner in dorm 10,,^^

الوقت كالسيف إن لم تقطعه قطعك